21 Oct 2021

TIANG-TIANG BERSEJARAH DI DALAM MASJID NABAWI

Abdullah (bin Umar) r.a. menceritakan, bahawa masjid di masa Rasulullah saw. dibuat dari batu bata, atapnya dari pelepah tamar dan tiangnya dari pohon kurma. Abu Bakar tidak merubahnya sedikit jua pun. Kemudian Umar melebar dan mendirikannya seperti bangunan masjid di masa Rasulullah, dari batu bata dan pelepah kurma dan mengganti tiangnya dengan kayu. Setelah itu Usman merubah dan mengadakan banyak tambahan; dindingnya terbuat dari batu berukir dan kapur, tiangnya dari batu berukir dan atapnya dari kayu sahaja." (Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0257).

Pada asalnya, keluasan Masjid Nabawi sebelum pembesarannya adalah sekitar 850.5m persegi dan 2.9m tinggi.

Di dalam masjid asal inilah terdapatnya lokasi Raudah yang menjadi tumpuan utama jemaah-jemaah haji dan umrah ketika mengunjungi Masjid Nabawi.

Raudhah adalah ruang masjid yang terdapat dibahagian kiri paling terkehadapan masjid Nabawi yang kita lihat ketika ini. Oleh kerana Raudhah menjadi pusat tumpuan utama masjid Nabawi, kawasan ini akan sentiasa diawasi dan dikawal rapi oleh askar-askar serta para petugas.

Raudhah suatu ketika dahulu adalah merupakan sebahagian daripada ruang utama masjid di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. sentiasa berhimpun samada untuk mendirikan solat berjamaah, menuntut ilmu, mengadakan perbincangan dan sebagainya.

Di ruang masjid ini Rasulullah s.a.w. telah mengklasifikasikan sebagai taman dari taman-taman syurga kerana kedudukkannya yang sangat istimewa.

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah ﷺ bersabda: "Antara rumahku dan mimbarku adalah taman (raudhah) dari taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas kolamku (Haud)." (Sahih Bukhari, no. 1888)

Dalam beberapa banyak tiang yang terdapat dalam Raudhh, ada 6 buah tiang yang mempunyai sejarah tersendiri dan unik. Tiang-tiang tersebut adalah seperti berikut:-

1) Tiang Aisyah
2) Tiang Taubat
3) Tiang Sarir
4) Tiang Wufud (Delegasi)
5) Tiang Ali/ Pengawal
6) Tiang Muhallaqah

Jemaah-jemaah yang berjaya memasukki Raudah akan dapat mengenalinya sekiranya mengetahui tanda-tanda yang terdapat pada tiang-tiang tersebut.

Untuk panduan jemaah-jemaah yang ingin memasukki Raudhah, tidak kesemua tiang-tiang tersebut boleh dihampiri oleh mana-mana jemaah kerana kedudukkannya yang berasingan dan dipagari oleh kanvas yang memisahkan antara jemaah lelaki dan wanita.

Sebagai contoh, Tiang Aisyah, Tiang Taubat, Tiang Sarir dan Tiang Muhallaqah adalah terletak dalam Raudhah yang dikhususkan untuk jemaah lelaki sahaja. Namun Tiang-tiang tersebut boleh dilihat dari dalam Raudhah jemaah wanita.

Sementara Tiang Wufud/delegasi yang menempel pada dinding yang membentengi makam Rasulullah s.a.w. adalah terletak didalam kawasan Raudhah wanita.

Tiang Ali/ Pengawal adalah terletak di sempadan antara Raudhah lelaki dan wanita. Namun begitu, kesemua tiang-tiang tersebut boleh diakses oleh jemaah lelaki apabila hampir masuk waktu solat setelah kesemua kawasan Raudah dibuka untuk jemaah lelaki.

Sejarah tiang-tiang tersebut akan dikongsikan dalam pos-pos yang seterusnya. in shaa Allah.

-> Klik disini untuk ke lokasi Pejabat Titim Travel Cawangan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur

Alamat Pejabat Pengurusan Titim Travel Cawangan Wangsa Melawat, Kuala Lumpur: 4-01, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur

-Haji Mustakim