17 Mar 2022

12 KEISTIMEWAAN KOTA MADINAH

Madinah adalah merupakan kota yang pada asalnya merupakan daerah pertanian yang subur dengan tanaman kurma.

Nama asal kota ini ialah Yathrib tetapi setelah berlaku penghijrahan umat Islam ke sana, Rasulullah s.a.w. telah menamakannya sebagai Madinah iaitu 'Kota'.

Para jemaah Haji dan Umrah adalah sangat digalakkan untuk mengunjungi Kota Madinah setelah selesai atau sebelum mengerjakan ibadah di Kota Mekah kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda mafhumn;
"Barangsiapa yang berziarah kuburku maka wajib baginya mendapat syafaatku." (HR. Tirmidzi, Baihaqi, Al-Barra, Daruqutni)
Berikut adalah 12 perkara istimewa yang terdapat di Kota Madinah dan tidak terdapat pada kota-kota yang lain:-
  1. Terdapat Jasad Baginda Rasulullah s.a.w yang mulia: Di Masjid Nabawi tempat Rasulullah s.a.w. di maqamkan, adalah tempat tumpuan umat Islam berziarah.
  2. Terdapat Raudhah: Di antara maqam Rasulullah s.a.w. dan Mimbar Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kawasan Raudhah yang iaitu tempat berdoa yang mustajab.
  3. Terpelihara daripada wabak Taun dan Demam: Rasulullah s.a.w. pernah berdoa agar Madinah terpelihara dari wabak Taun dan Demam di mana segala wabak tersebut dialihkan sehingga ke Juhfah.
  4. Dijaga oleh para Malaikat daripada dimasukki Dajjal: Pada akhir zaman apabila keluarnya fitnah Dajjal yang berleluasa di seluruh dunia, hanya dua kota suci Mekah dan Madinah yang terselamat daripada dimasukki Dajjal. Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak sebuah jua pun negeri, melainkan semua dipijak oleh Dajjal. Kecuali Mekah dan Madinah. Semua jalan yang menuju ke sana, dijaga Malaikat dengan berbaris. Maka berhentilah Dajjal di sebuah kebun (di pinggir kota Madinah). Madinah bergoyang (gempa) tiga kali. Orang-orang kafir dan orang-orang munafik keluar semuanya dari kota Madinah menemui Dajjal." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2482)
  5. Menjadi tempat kembalinya Iman: Pada saat berlaku kemungkaran serta kelalaian sehingga hampir semua manusia tidak dapat terlepas dari musibah tersebut, Madinah menjadi benteng kepada kelalaian Iman. Iman manusia akan kembali subur apabila berkunjung ke Madinah. Sabda Nabi dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah yang bermaksud; “Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana kembalinya ular ke lubangnya.” (HR Bukhari)
  6. Tanah Haram: Kota Madinah telah didoakan sebagai tanah Haram melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadis mafhumnya: "“Sesungguhnya Nabi Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Nabi Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa untuk keberkatan cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah.”
  7. Mempunyai 1000 nama: Terlalu banyak nama yang diberikan kepada Kota Madinah ini bagi menggambarkan kedudukkannya yang tinggi nilainya dan dekatnya di  hati umat Islam. Diriwayatkan bahawa nama-nama Madinah adalah lebih 1000 nama. Antaranya, al-Munawwarah (yang bercahaya), Toyyibah (baik), Tibah (baik), Madkhala Sidqin (tempat masuk yang benar) dan lain-lain.
  8. Tempat yang strategik: Jika dilihat dari sudut geografinya, Madinah adalah terletak di kawasan lembah subur yang dikelilingi oleh bukit bukau berbatu yang terbentuk dari lahar gunung berapi yang sudah tidak aktif. Ini menjadikan Madinah sebagai kota pertahanan semulajadi yang sukar untuk dicerobohi oleh musuh.
  9. Bersih daripada Manusia jahat: Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya kota Madinah mengeluarkan orang-orang (jahat), sebagaimana halnya api membersihkan besi dari karat." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0924)
  10. Tanah yang berkah berganda sebagaimana Mekah: Dari Anas r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Wahai, Allah! Turunkanlah berkah berganda di Madinah, sebagaimana yang telah Engkau turunkan di Mekah." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0925)
  11. Terdapat Gunung Uhud yang istimewa serta bersejarah: Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kitapun mencintainya. Dan dia akan berada di atas taman dari taman-taman syurga. Dan 'Air akan berada di atas taman dari taman-taman neraka ('Air adalan nama sebuah gunung di Madinah)." (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 3115)
  12. Tempat tinggal terbaik untuk orang Muslim: Dari Sufyan bin Abu Zuhair r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Ketika negeri Yaman ditaklukkan, berbondong-bondonglah penduduk Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka; sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula negeri Syam, maka berbondong-bondong pula orang Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal kota Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula Iraq, maka berbondong-bondong pulalah orang datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak mengerti." (Hadis Sahih Muslim)
Begitulah antara kelebihan-kelebihan Kota Madinah, bumi yang penuh dengan keberkatan.

Di akhir zaman, Madinah akan ditinggalkan kosong tetapi tidak musnah sebagaimana yang berlaku kepada kota-kota lain yang musnah, roboh atau rosak akibat gempa bumi, banjir, ribut taufan dan sebagainya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya beliau mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Madinah akan ditinggalkan mereka (penduduk) dalam keadaan yang baik. Tiada lagi yang mengunjunginya kecuali 'Awaaf, yakni binatang-binatang buas dan burung-burung. Orang terakhir yang meninggal ialah dua orang penggembala dari suku Muzainah. Keduanya pergi ke Madinah menghalau kambing mereka, maka didapatinya di Madinah binatang liar. Ketika keduanya sampai di bukit Wada', keduanya jatuh tersungkur." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0914.)

-> Klik disini untuk ke lokasi Pejabat Titim Travel Cawangan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur
Alamat Pejabat Pengurusan Titim Travel Cawangan Wangsa Melawat, Kuala Lumpur: 4-01, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur
-Umrah Titim-